Terkini@PRIHATIN

Kunjungan Hormat PRIHATIN kepada Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

01 April 2021- Hari ini telah berlangsung satu sesi kunjungan hormat delegasi Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) kepada Lt Jen Dato’ Hasagaya bin Abdullah, Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) telah diberi taklimat mengenai data semasa pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dalam kunjungan hormat ini. Hasil daripada pertemuan dan perbincangan tersebut, UPNM bersetuju untuk terus menyokong dan menjadi rakan strategik PRIHATIN bagi Program Jelajah Pendidikan Prihatin yang bakal dilaksanakan kelak.

Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) akan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bagi menjalinkan persefahaman dan kerjasama erat yang merangkumi tiga aspek. Pertama, membantu kumpulan pelajar B40 dengan pemberian bantuan kewangan seperti zakat dan dermasiswa. Seterusnya, kerjasama dalam merangka dan menganjurkan program yang berteraskan latihan, sukarelawan dan akademik. Aspek terakhir, PRIHATIN dan UPNM bersetuju untuk mewujudkan Akademi Pendidikan Prihatin. Dengan kata lain,kerjasama ini dapat mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan memperkasa aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan.

Turut hadir semasa sesi kunjungan hormat berkenaan adalah Prof. Emeritus Tan Sri Ir.Dr. Sahol Hamid Abu Bakar, Penasihat Pendidikan & Biasiswa PRIHATIN dan Dato’ Mohd Aizuddin bin Ghazali, Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN.